KUALA LUMPUR: Suasana di dalam Dewan Rakyat menjadi gamat seketika tatkala Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hendak memulakan ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-14, hari ini.
Ia berikutan titah bersahaja baginda meminta semua Ahli Parlimen supaya tetap berada di tempat masing-masing mendengar ucapan baginda.
“Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tuan Yang Dipertua Dewan Negara dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sila duduk dan jangan lari,” titah baginda sambil tersenyum sebelum duduk mengambil tempat.
Serentak itu, ia disambut dengan gelak ketawa Ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Rakyat termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kabinet.
Turut ketawa ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Ahli Parlimen pembangkang yang lain.
Selepas keadaan kembali reda, Sultan Muhammad V memulakan ucapan perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen ke-14.
Terdahulu, baginda tiba di Parlimen kira-kira jam 10 pagi dan disambut Dr Mahathir serta Dr Wan Azizah. Yang turut hadir, isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Sultan Muhammad V turut disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Tidak dapat dipastikan baginda merujuk kepada Ahli Parlimen di pihak mana, namun ia mungkin ada kaitan dengan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan ketika upacara pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, semalam.
Semua wakil Barisan Nasional (BN) dan PAS, kecuali Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis) dan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) bertindak meninggalkan dewan sebagai tanda memprotes pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.
Pembangkang mendakwa pelantikan Mohamad Ariff tidak mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Dewan Rakyat namun tetap mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di hadapan Yang Dipertua selepas protes berakhir.